Isnin, 26 Mei 2014

Bekas Pelumba MotoGP Maut

“Keluarga sudah melarangnya supaya tidak menunggang bersendirian ke rumah sepupu di Pasir Gudang, tetapi apa boleh buat ajalnya sudah tiba,” kata Hilmi Affan Abdul Malik, 21, abang sulung kepada bekas pelumba MotoGP Malaysia yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Tanjung Buai, Teluk Sengat di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Husni Aizat Abdul Malik, 20, maut apabila motosikal Modenas Kris ditunggangnya terbabas ketika mengambil sebuah selekoh menyebabkan dia memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lori.
Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari rumah sepupunya di Pasir Gudang ke rumahnya di Felda Air Tawar 1 di sini.
Hilmi berkata, adiknya sudah dilarang menunggang motosikal bersendirian ke rumah sepupunya malam kelmarin, tetapi tetap berkeras mahu ke sana bersendirian.
“Malah ahli keluarga sengaja tidak mencarikan topi keledar apabila dia memintanya kerana tidak mahu dia menunggang bersendirian pada waktu malam kerana mengambil kira soal keselamatannya.
“Malam tadi (kelmarin), saya turut ke kediaman sepupu dan berjumpa dengan arwah di situ, namun kami tidak berbual lama memandangkan saya terpaksa pulang awal kerana anak kurang sihat,” katanya.
Hilmi yang juga abang sulung mangsa daripada enam beradik berkata, keluarganya terkejut apabila menerima berita malang yang menimpa Husni melalui seorang saudara terdekat pagi semalam.
“Kami akan merinduinya dan berharap rohnya dicucuri rahmat,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, semalam.
Husni adalah bekas pelumba pasukan Touchline SIC-Ajo dan pernah beraksi dalam kejohanan CEV Repsol Moto3 di Sepanyol.
Allahyarham juga pernah beraksi dalam SIC Ninja 250 R Cup yang menyaksikan Husni mendapat tempat kedua selain Grand Prix Malaysia di bawah tiket ‘wild card.’ Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, mangsa meninggal dunia ketika dikejarkan ke Klinik Kesihatan Felda Air Tawar 2 manakala pemandu lori yang berusia 32 tahun dan berasal dari Bukit Rambai, Melaka tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ketika itu, cuaca baik, namun selekoh berkenaan didapati agak tajam menyebabkan mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh waris dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Air Tawar 1,”

Foto

Sumber Harian Metro

0 ulasan:

Catat Ulasan