Cebu: Skrip sama berulang apabila skuad Harimau Malaya sekadar seri tanpa jaringan dengan Filipina pada aksi persahabatan antarabangsa yang menyaksikan penyerang Mohd Safee Sali gagal menyempurnakan sepakan penalti pada lewat permainan di Pusat Sukan Cebu malam tadi.
Safee yang masuk menggantikan Mohd Nor Farhan Muhammad pada minit-88 membuat sentuhan pertama dua minit kemudian dengan sepakan penalti namun berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah Patrick Phillip Deyto.
Babak pertama jelas menjadi milik Filipina yang mendominasi sepenuhnya permainan di depan hampir 10,000 penyokong sendiri berbanding ketika pertemuan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 1 Mac lalu yang berkesudahan seri 0-0.
Beberapa perubahan kecil dilakukan Datuk Ong Kim Swee dalam kesebelasan utama tampak kurang menjadi khususnya gandingan Mohd Hafiz Kamal, Baddrol Bakhtiar dan Junior Eldstal di bahagian tengah sehingga penyerang tunggal Nor Farhan tenggelam.
Bagi Kim Swee beliau tidak menyalahkan anak buahnya dengan keputusan seri itu, termasuk kegagalan Safee menghadiahkan gol kemenangan dalam perlawanan itu.
“Tidak ada sesiapa yang harus dipersalahkan kerana mereka bermain mengikut arahan saya. Saya yang perlu bertanggung jawab.
“Perlawanan malam ini berbeza berbanding di Kuala Lumpur. Saya mengambil pendekatan bertahan tapi kalau dapat menyempurnakan sepakan penalti, kita sudah menang.
“Tapi saya tak salahkan Safee kerana dia mempunyai keyakinan untuk mengambil sepakan itu cuma penjaga gol Filipina juga cemerlang malam ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Pasukan tuan rumah hampir di depan pada minit ke-12 apabila bola tandukan pemain pertahanan negara Muhammad Zubir Azmi terkena palang ketika cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Percaturan jurulatih Filipina dari Amerika Syarikat Tomas Dooley yang membuat rombakan besar ke atas pasukannya termasuk membawa masuk dua pemain tengah yang beraksi dalam Liga Denmark dan Switzerland, Jerry Lucena dan Martin Steuble tampak memperkemaskan permainan mereka.
Kim Swee yang mengendalikan perlawanan antarabangsa ketiga selepas seri dengan Filipina dan menang 2-1 ke atas Yaman awal bulan lalu membuat beberapa pertukaran termasuk membawa masuk Asraruddin Putra Omar, Mahalli Jasuli dan Mohd Badhri Radzi.
Skuad Azkals sekali lagi dikecewakan apabila sepakan deras penyerang gantian Nathaniel Burkey terkena palang pada minit ke-78 ketika penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat sudah tertewas.
Peluang Malaysia untuk mencatat kemenangan tidak kesampaian apabila sepakan Safee dapat ditepis keluar Deyto selepas pengadil Thoriq Alkatiri menghadiahkan sepakan penalti kerana bola terkena tangan Steuble dalam kotak penalti. -myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan