Ahad, 27 April 2014

MaGIC sediakan peluang usahawan muda merealisasi impian

CYBERJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang baharu menyediakan peluang kepada usahawan muda Malaysia merealisasikan impian mereka.

"Jika kita mahu mengubah dunia, kita perlu bermula dengan anak-anak muda.
"Apa yang mereka perlukan adalah satu ekosistem yang akan membolehkan mereka menyalurkan semangat dan idea-idea mereka menjadi kenyataan," kata Najib kepada lebih 2,000 belia di majlis pelancaran Program Usahawan 1Malaysia (1MET) di sini hari ini.
Sebelum itu, Najib dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melancarkan MaGIC di mana usahawan 1MET akan diberikan bimbingan lanjut.
Najib berkata, MaGIC merupakan pusat di mana usahawan muda boleh menghasilkan idea dan membangunkan idea-idea mereka kepada usaha perniagaan yang berjaya.
"Di sinilah peranan kerajaan. Kami mewujudkan peluang yang baik untuk mereka," kata Najib.
Jika Malaysia mahu berubah menjadi negara berpendapatan tinggi, negara memerlukan orang yang boleh mengubah idea-idea untuk menjana kekayaan. - Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan