Rabu, 23 April 2014

Inspektor polis didakwa menipu wanita

Gambar hiasan


BUTTERWORTH: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi, atas pertuduhan menipu seorang wanita bagi menarik balik satu laporan polis pada Mac tiga tahun lalu. 

Fazli Salim, 33, yang bertugas sebagai Pengawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah. 


Tertuduh didakwa memperdaya Noor Diana Hanafiah, untuk mempercayai bahawa Rosli Mahmud telah meminta wang sebanyak RM3,500 untuk menarik balik laporan polis di Bukit Tengah, sedangkan jumlah wang yang sebenarnya diminta Rosli hanya RM1,700. 


Fazli didakwa dengan curangnya memperdaya Noor Diana supaya menyerahkan wang tunai RM3,500 kepadanya di dalam bilik pegawai penyiasat, Tingkat 2, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam pada 2 Mac 2011, jam 3.05 petang. 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri. 

Manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Terdahulu, Ahmad Ghazali meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM15,000 terhadap tertuduh. 

Bagaimanapun tertuduh meminta wang jaminan dikurangkan memandangkan dia terpaksa menanggung isteri serta dua anak selain menjelaskan bahawa kes ini menyebabkannya tidak dinaikkan pangkat dan jawatan. 
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

0 ulasan:

Catat Ulasan