Rabu, 23 April 2014

MH370: Perbaiki teknologi kotak hitam, kata bekas jurutera kanan Boeing



GOMBAK: Daripada mencipta teknologi baru menggantikan kotak hitam, lebih baik perbaiki kotak hitam yang sedia ada, kata seorang bekas jurutera kanan Boeing, Profesor Dr Yulfian Aminanda.

Demikian pandangan beliau yang juga ketua penyelidik di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ketika ditemuiAstro AWANIpada forum tentang kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, Selasa malam.

"Ia lebih mudah berbanding melaksanakan teknologi baru yang perlu dimajukan dan diuji terlebih dahulu serta mengambil masa yang lama sehingga untuk memastikan ia selamat dan boleh digunakan," kata Yulfian.

Beliau memberi contoh tentang kotak hitam yang menyimpan segala maklumat tentang penerbangan pesawat, di mana ia sukar dicari apabila masuk ke dasar laut serta jangka hayatnya yang agak singkat iaitu selama 30 hari.

"Mungkin mereka boleh buatkan kotak hitam itu apabila terkena impak, ia akan terkeluar dan seterusnya terapung jika terjatuh di lautan. Ini membolehkannya dikesan dengan lebih mudah," katanya sambil memberitahu bahawa teknologi sedemikian memang dalam cadangan pakar.

Mengulas tentang teknologi baru menggantikan kotak hitam seperti sistem 'cloud storage', Yulfian berkata teknologi tersebut juga memang ada namun ia tidak semudah itu untuk memasangnya.

Jelas beliau, hal itu kerana alat tersebut perlu diuji beberapa kali terlebih dahulu untuk dipastikan selamat sebelum ianya disahkan, dan ini mengambil masa yang sangat lama.

"Biarpun ketika teknologi itu telah matang, tetapi ia perlu diuji juga dalam masa nyata (real time), untuk melihat berapa kali ia gagal dan sebagainya," katanya.

Selain itu, beliau juga memberitahu teknologi seperti cloud storage, biarpun lebih mudah untuk memperoleh maklumat darinya, namum terdapat risiko untuk maklumatnya dicerobohi oleh pihak lain.

"Itu lah isunya, iaitu ada kemungkinan pihak boleh menceroboh ke dalam sistem maklumat tersebut," tegas Yulfian.

Forum 'MH370 Tragedy: When science ends, faith continues' (Apabila sains berakhir, iman diteruskan) itu dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan, UIA.

Jangka hayat bateri kotak hitam pesawat Boeing 777-200 seperti yang terkandung dalam penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac itu, hanya mampu bertahan sehingga 30 hari selepas terhempas ataupun mengalami impak.

Hari ini, misi pencarian di dasar laut bagi pesawat tersebut diteruskan dengan melibatkan 10 pesawat tentera dan 12 kapal.

Fokus pencarian hari ini juga melibatkan kawasan radius 10 kilometer sekitar menara mengesan ping yang kedua, yang berlaku pada 8 April. -AstroAwani

0 ulasan:

Catat Ulasan