Isnin, 21 April 2014

Perhitungan final Federer, Wawrinka




Monte Carlo, Monaco: Roger Federer dan Stanislas Wawrinka mara mudah ke perlawanan akhir Masters Monte Carlo, kelmarin sekali gus mencetus pertembungan final dua pemain Switzerland kali pertama dalam tempoh 14 tahun.
Federer yang tidak pernah menang kejohanan itu, menundukkan Novak Djokovic 7-5, 6-2 apabila juara bertahan dan pemain nombor dua dunia dari Serbia itu bergelut dengan kecederaan pergelangan tangan kanan yang mengehadkan kelajuan servisnya sekitar 150 kilometer sejam saja.
Wawrinka, juara Terbuka Australia mengatasi David Ferrer 6-1, 7-6 (7/3), sehari selepas pemain Sepanyol itu mengejutkan juara lapan kali dan rakan senegara Rafael Nadal pada suku akhir.
Federer tampil pada final terakhir membabitkan dua pemain Switzerland apabila dia kecundang kepada Marc Rosset pada final di Marseille pada 2000, ketika juara 17 gelaran Grand Slam itu masih berstatus pemain remaja.


Federer yang tumpas dalam tiga final Monte Carlo di tangan Nadal, akan membida kejuaraan pertamanya pada kejohanan itu sejak 2008.
“Agak mengejutkan saya layak ke final terutama sekali di gelanggang tanah liat,” ujar Federer.
“Namun sudah tentu saya akan menghadapinya. “Saya sudah berusaha keras untuk berada di final sekali gus berpeluang menang minggu ini.

Saya amat gembira dengan permainan saya.” - AFP

0 ulasan:

Catat Ulasan