Selasa, 22 April 2014

Peniaga burger didakwa baling mercun selepas perlawanan Perak-JDT


IPOH: Seorang peniaga burger hari ini mengaku tidak bersalah menyebabkan letupan mercun selepas berakhirnya perlawanan bola sepak Liga Super antara Perak dan Johor Darul Takzim di sini pada Rabu lalu. 

Mohd Sahir Yahya, 26, dari Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar dituduh menyebabkan letupan iaitu membaling mercun ke arah anggota polis iaitu Mohd Mahiri Hussin, Zulhimi Hafiz Hamdan dan Muhamad Razif Semait di hadapan Stadium Indera Mulia dan di depan tapak pasar tani stadium itu pada 1 pagi, 16 April lalu. 


Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 


Peguam Mohd Fitri Asmuni yang mewakili tertuduh memohon mahkamah supaya membenarkan anak guamnya itu diikat jamin. 

Selain Mohd Fitri, tertuduh turut diwakili peguam Khairul Anuar Musa dan Mohd Zambri Ibrahim manakala pendakwaan diwakili Insp. Nazaruddin Ibrahim. 

Majistret Haslinda A Raof kemudian membenarkan permohonan tertuduh dengan menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin. 

Kes itu disebut semula pada 3 Jun ini. 
- BERNAMA 

0 ulasan:

Catat Ulasan