Isnin, 21 April 2014

MH192: Hishammuddin puji kecekapan juruterbang

SEPANG: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memuji kecekapan juruterbang pesawat MH192 yang berjaya mendaratkan pesawat berkenaan dengan selamat.

Beliau yang dilaporkan turut berada di KLIA sewaktu pendaratan cemas berkenaan turut menyambut semua penumpang dan anak kapal pesawat tersebut.

"Walaupun keletihan, para penumpang sempat meluahkan rasa kagum mereka terhadap kecekapan juruterbang sehingga berjaya mendaratkan pesawat dan kesemua penumpang terselamat.

"Perkara ini diluahkan mereka semasa saya berjumpa dengan mereka dan mereka amat berterima kasih kepada juruterbang pesawat itu," kata Hishammuddin kepada pemberita di Bangunan Pengurusan Penerbangan KLIA di sini.

Foto Hishammuddin bersama penumpang dan anak kapal MH192 dimuat naik ke laman Twitter rasmi beliau beberapa jam selepas pendaratan.

Sebagai tindakan proaktif Hishammuddin telah mengarahkan Malaysia Airlines (MAS) untuk menyediakan laporan mengenai kejadian itu kepada kementeriannya dan Jemaah Menteri Rabu ini.




"Biarpun MAS di bawah Khazanah Nasional, namun pihak kami mahukan satu laporan lengkap disediakan secepat mungkin pada Rabu ini.

"Ini kerana sudah banyak insiden menimpa MAS termasuk kes kehilangan MH370 dan laporan itu perlu diserahkan kepada kementerian saya dan Jemaah Menteri," katanya.

MH192 menuju ke Bangalore, terpaksa berpatah balik ke KLIA kerana tayar hadapan sebelah kanan dilaporkan pecah ketika berlepas.

Ketika itu pesawat itu membawa 159 penumpang serta tujuh anak kapal.

Ia berlepas dari KLIA pada 10.09 malam tadi dan mendarat dengan selamat pada 1.56 pagi ini.

Kejadian pendaratan cemas itu menjadi perhatian dunia di saat misteri kehilangan pesawat MAS MH370 masih belum terjawab kerana pesawat itu berpatah balik sebelum hilang pada 8 Mac lalu ketika ia dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu, hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 tengah malam ketika berada di Laut China Selatan. Ia dijadual mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama, 8 Mac.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian selepas diketahui kapal terbang itu melencong dari laluan, misi mencari digerakkan di sepanjang koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand serta koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Berikutan analisis terhadap data satelit yang belum pernah dilakukan sebelum ini, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 telah terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.

Pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
-Astro Awani


0 ulasan:

Catat Ulasan