Sabtu, 26 April 2014

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama tiba di Malaysia

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama tiba di Malaysia sebentar tadi dalam rangka lawatan tiga harinya ke negara ini. Lawatan antara lain dilihat sebagai sebahagian usaha meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara selain mencari peluang “perkongsian bersama”.

Pesawat Air Force One yang membawa Obama mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang pada kira-kira jam 4.50 petang.


Ini merupakan lawatan julung kali oleh Presiden AS yang memegang jawatan dalam tempoh 48 tahun selepas lawatan Presiden Lyndon B Johnson pada 1966. Ia merupakan sebahagian daripada lawatan Obama ke empat negara di Asia.

Hadir menyambut Presiden AS ke-44 itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Duta Malaysia ke AS, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Duta Khas Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Khairy Obama
Kelihatan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengiringi Presiden Amerika Syarikat sejurus tiba- Foto AP


Pada sebelah malamnya, Obama menghadiri Majlis Santapan Negara di Istana Negara.

Beberapa jam sebelum ketibaan Obama, kelihatan pasukan keselamatan termasuk polis, kakitangan Kedutaan Amerika Syarikat dan pegawai perisikan dilihat membuat pemeriksaan rapi di beberapa lokasi dimana Obama dijadualkan mengunjungi.

Kali terakhir lawatan presiden Amerika Syarikat ke Malaysia adalah pada tahun 1966 dimana ketika itu adalah presiden Lyndon Johnson, ketika Amerika Syarikat sedang berusaha meraih sokongan serantau dalam Perang Vietnam.

Lawatan dilihat Putrajaya sebagai usaha untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala terutamanya dalam bidang “ekonomi, keselamatan dan hubungan antara rakyat”.

Bagaimanapun Obama berhadapan tekanan daripada beberapa kumpulan hak asasi, demokrasi dan agama dalam beberapa isu.

Antara yang menjadi topik perbincangan khusus adalah berkaitan Perjanjian Bebas Perkongsian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA).

Namun TPPA telah awal-awal lagi menerima tentangan daripada beberapa kumpulan di negara ini dengan alasan ia akan memberi kesan negatif kepada harga ubat-ubatan, pencabulan kedaulatan negara dan bertentangan dengan hak keistimewaan bumiputra.

Lawatan Obama di tengah-tengah kebimbangan kebangkitan China sebagai kuasa serantau dan insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia, MH370.

Esok Obama akan mengunjungi Masjid Negara pada sebelah pagi, meskipun mendapat tentangan daripada beberapa kumpulan yang menggelar Obama sebagai “musuh Islam”.

Ini disusuli pertemuan peringkat tertinggi pemimpin kedua-dua negara di antara Obama dan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana, Putrajaya.

Satu sidang media bersama dijangka diadakan selepas pertemuan itu.

Obama dan Najib kemudiannya akan merasmikan pelancaran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) sebelum mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin muda Asia Tenggara di Universiti Malaya dan beberapa pemimpin masyarakat.

Obama dilaporkan menginap di Hotel Ritz Carlton Kuala Lumpur sebelum berangkat ke Filipina Isnin  bagi melengkapkan rangka lawatannya ke Asia.

Obama sebelum ini mengunjungi Jepun dan Korea Selatan.

Beliau sepatutnya mengunjungi Malaysia tahun lalu tetapi terpaksa dibatalkan ekoran krisis penutupan pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat.-AstroAwani

0 ulasan:

Catat Ulasan