Isnin, 21 April 2014

Wanita maut di Taman Negara Bako

Santubong : Seorang wanita maut manakala 11 rakan serta 12 anggota pasukan penyelamat terperangkap di Bukit Timah, Taman Negara Bako di sini tengah malam tadi. Loe Xie Yann, 20, yang disahkan meninggal dunia selepas pengsan petang semalam serta mangsa lain berjaya dibawa keluar oleh pasukan penyelamat kedua, kira-kira 6 pagi tadi. 

Gambar hiasan


Loe, bekas penuntut Kolej TAR Kuala Lumpur berasal dari Taman Bukit Permata, Selangor bersama 11 lagi rakannya pergi ke taman negara itu untuk melancong. 
Setibanya di satu lokasi di taman itu, mangsa yang mempunyai masalah tekanan darah rendah dan berat badan 110 kilogram pengsan menyebabkan rakan lain tidak dapat meneruskan perjalanan. 
Seorang peserta ekspedisi menghubungi bapanya memaklumkan mengenai kejadian dan memintanya melaporkan kepada polis bagi mendapatkan bantuan. 

Seramai sembilan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lima petugas Taman Negara dihantar ke lokasi kejadian. 

Bagaimanapun, keadaan gelap dan hujan menyukarkan membawa mereka keluar dan menyebabkan pasukan bantuan turut terperangkap di lokasi kejadian dan gagal keluar dari taman negara. 

Pasukan penyelamat terdiri daripada bomba dan polis pergi ke lokasi kejadian kira-kira 3.30 pagi tadi dan mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan mangsa. 

Mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat manakala mangsa lain dirawat di unit rawatan pesakit luar.

0 ulasan:

Catat Ulasan