Selasa, 22 April 2014

Terus berdoa pesawat ditemui




Kuala Lumpur: Dewan Negara semalam merakamkan rasa simpati dan sedih terhadap nasib penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, kehilangan itu adalah suatu tragedi yang menyedihkan dan berharap masyarakat terus berdoa pesawat itu segera ditemui.
“Selaku Speaker saya berharap kita terus berdoa semoga Allah mempermudahkan usaha mengesan dan mencari pesawat itu,” katanya sebelum sesi jawab lisan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Malaysia Ke-13 semalam.
Penerbangan MH370 menerusi pesawat Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal menjadi tumpuan dunia apabila hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 tengah malam.
Memasuki hari ke-45 hari ini, nasib pesawat itu yang membawa penumpang dari 14 negara termasuk 38 rakyat Malaysia selain 12 anak kapal belum diketahui.
Abu Zahar yang mempengerusikan hari pertama persidangan merakamkam ucapan takziah kepada balu dan keluarga Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya awal pagi Khamis lalu.
Kemalangan pada jam 1.10 pagi di Kilometer 306.1 Lebuh raya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung, Kampar itu turut mengorbankan pembantu peribadi Karpal, Michael Cornelius, 40-an.-hmetro

0 ulasan:

Catat Ulasan