LONDON – Brendan Rodgers percaya pasukannya mampu mengatasi tekanan disebabkan harapan tinggi peminat ketika kelab itu kini berada di laluan untuk menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Liverpool yang menghuni tangga teratas liga dengan kelebihan dua mata di hadapan Chelsea akan bertandang ke Carrow Road bagi pertemuan menentang Norwich City hari ini.
“Saya memiliki barisan pemain yang sentiasa bekerja keras. Mereka sentiasa fokus dalam mengejar sasaran yang ditetapkan.
“Sudah tentu ia merupakan satu tekanan tetapi kami menjadikannya sebagai pembakar semangat dan juga merupakan peluang untuk menunjukkan semangat juang,” katanya.
Kejayaan ke atas Manchester City minggu lalu merupakan kemenangan ke-10 berturut-turut Liverpool dan mereka ini sedang mengintai peluang untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris yang kali terakhir dimenangi pada 1990.
“Kami hanya perlu fokus dan menghasilkan persembahan terbaik, tunjukkan karakter yang kami ada dan sekiranya kami boleh melakukannya, pasukan ini akan meraih tiga mata penuh,” katanya.
Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini “sangat yakin” yang Liverpool dan Chelsea akan melepaskan mata dalam baki perlawanan mereka dan sebaliknya menjangkakan pasukannya akan kembali kepada prestasi sebenar apabila bertemu West Bromwich Albion (awal pagi waktu Malaysia).
Pasukannya seri 2-2 dengan Sunderland pada Rabu lalu dan mengekori Liverpool dengan enam mata.”Saya sangat yakin bahawa pasukan lain juga akan melepaskan lebih banyak mata, mungkin Liverpool, Chelsea, seperti yang berlaku ke atas kami dalam perlawanan terakhir sebelum ini,” kata Pellegrini.
Sementara itu, tiga pemain Liverpool, Steven Gerrard, Luis Suarez dan Daniel Sturridge berada dalam senarai calon pemain terbaik oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Inggeris.
Ketiga-tiga pemain itu disenaraikan bersama penyerang Chelsea, Eden Hazard; bintang Manchester City, Yaya Toure dan pemain tengah Southampton, Adam Lallana.
Suarez merupakan pilihan utama untuk muncul pemenang bersandarkan kejayaannya menjaringkan 29 gol di dalam saingan liga.
Sturridge dan Hazard turut disenaraikan sebagai pemain muda terbaik bersama pertahanan kiri Southampton, Luke Shaw; pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey; pemain tengah Everton, Ross Barkley serta seorang lagi penyerang Liverpool, Raheem Sterling. – AFP
-Utusan Online
0 ulasan:
Catat Ulasan